Kelebihan mendapatkan pembiayaan mara

Ramai yang tahu bahawa MARA ada menawarkan pinjaman pelajaran.

Tapi mungkin ramai yang tidak sedar bahawa MARA juga ada menyediakan peluang pinjaman perniagaan.

Pinjaman Perniagaan MARA adalah terbuka untuk perniagaan yang patuh shariah merangkumi pelbagai sektor perniagaan.

Skim pinjaman MARA sesuai dipertimbangkan untuk bidang perniagaan merangkumi sektor pembuatan, peruncitan, kontraktor (i.e kontraktor binaan CIDB: G1 – G5, kontraktor pembekalan, perkhidmatan & elektrik) dan juga teknousahawan.

Pinjaman perniagaan MARA ini turut ditawarkan kepada usahawan asas tani namun pembiayaan hanya akan dipertimbangkan untuk sektor hiliran sahaja.

Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM)
√ Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE)
Skim Pembiayaan Perniagaan Lepasan IPMa (SEMAi)
Pembiayaan Perniagaan OKU
√ Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM)
√ MARA Entrepreneur Guarantee Scheme (MEGS)
√ Skim Pembiayaan Usahawan Global MARA – EXIM (GEMS)

Dengan adanya skim pembiayaan yang ditawarkan pihak MARA para usahawan yang berkelayakan mampu mengatasi kemelut kewangan yang dihadapi dalam operasi perniagaan sehari-hari dan juga dalam mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.

Pembiayaan yang diperolehi seandainya diluluskan boleh digunakan untuk keperluan berkaitan dengan perniagaan seperti membeli aset tetap, keperluan modal kerja, belanja pengurusan dan menyediakan jaminan bank (i.e BG atau Bank Guarantee yang disyaratkan oleh pihak bank untuk fasiliti pembiayaan dan perbankan).

Pinjaman atau pembiayaan sebegini akan ditawarkan di bawah kaedah Al Bai-Bithaman Ajil.

Pinjaman yang diterima juga boleh digunapakai untuk membeli bahan mentah, barang-barang separuh siap, pembelian stok barang-barang siap dan juga kelengkapan alat ganti. Kaedah pinjaman adalah berdasarkan konsep Al-Murabahah.

Sekiranya memerlukan aset untuk perniagaan, usahawan mempunyai pilihan untuk pembiayaan di bawah konsep Al-Ijarah.

Di bawah kaedah pembiayaan ini bolehlah dilakukan pembelian berkaitan peralatan loji, mesin, kenderaan atau aset mudah alih.

Usahawan akan menyewa peralatan tersebut daripada MARA.

Setelah bayaran sewa diselesaikan, peralatan berkenaan seterusnya dipindahmilik kepada pelanggan sepertimana kelaziman dalam skim sewa beli kereta.

Bagi kegunaan perbelanjaan mengurus (overhead) sebagai contoh termasuklah untuk membayar gaji pekerja, bayaran sewa premis, menjelaskan bil elektrik dan air, maka pembiayaan akan dilaksanakan di bawah konsep Bai Al-Inah.

Skim-Skim Pinjaman Perniagaan MARA

Bagi memudahkan pelaksanaan pembiayaan beberapa skim pinjaman diperkenalkan sesuai dengan bidang perniagaan yang disasarkan.

Pinjaman MARA Untuk Perniagaan

Pinjaman untuk perniagaan untuk syarikat Bumiputera melalui Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM).

Pinjaman perniagaan untuk membeli aset tetap seperti mesin dan peralatan, kos ubahsuai premis perniagaan, dan untuk dijadikan modal pusingan.

Jumlah pinjaman maksima sehingga RM250,000 untuk syarikat status milikan tunggal dan perkongsian, dan sehingga maksima RM500,000 untuk syarikat sendirian berhad.

Pinjaman dikenakan caj kadar keuntungan sebanyak 4% setahun.

Syarat Kelayakan Pinjaman Perniagaan MARA

i.    Warganegara Malaysia bertaraf Bumiputera yang berusia 18 tahun ke atas.

ii.   Berpengalaman/berpengetahuan dalam bidang perniagaan yang diceburi.

iii.  Mempunyai lesen, permit dan surat kebenaran pihak berkuasa untuk menjalankan perniagaan.

iv.  Mampu menyediakan modal sendiri tidak kurang daripada 10% daripada nilai kos projek.

v.   Terlibat secara sepenuh masa dalam perniagaan.

vi.  Pinjaman memerlukan cagaran ATAU mencari penjamin.  Cagaran tanah yang mempunyai Forced Sale Value sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah permohonan pinjaman. Jika tiada tanah, maka memerlukan penjamin yang memenuhi kriteria pendapatan tetap bulanan tidak kurang 3% daripada jumlah pinjaman.

Pinjaman Untuk Kontraktor Bumiputera

Pinjaman kontraktor Bumiputera disediakan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE).

Jumlah pinjaman maksima sehingga RM1,000,000.

Pinjaman dikenakan caj kadar keuntungan sebanyak 6% setahun.

Tempoh kelulusan pinjaman dan pengeluaran wang adalah 3 hari daripada tarikh permohonan yang lengkap diterima.

Fasiliti pembiayaan untuk kontraktor pembekalan dan perkhidmatan yang berjaya mendapat kelulusan kontrak daripada jabatan dan agensi kerajaan atau Syarikat Milik Kerajaan (GLC).

Terbuka untuk kontraktor dalam bidang berikut:

  • Kontraktor Binaan Gred G1, G2, G3, G4 & G5
  • Kontraktor Bekalan
  • Kontraktor Perkhidmatan
  • Kontraktor Elektrik

Syarat Kelayakan Pinjaman Untuk Kontraktor

1. Warganegara Malaysia bertaraf Bumiputera yang berusia 18 tahun ke atas.

2. Berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang perniagaan yang diceburi.

3. Melibatkan diri dalam perniagaan secara sepenuh masa.

4. Berdaftar dengan PKK, CIDB dan Kementerian Kewangan yang berkaitan.

5. Pembiayaan RM250,000 ke bawah tidak perlukan cagaran dan penjamin.

6. Pinjaman RM250,001 sehingga RM1,000,000 perlukan penjamin iaitu yang berpendapatan tetap bulanan tidak kurang 3% daripada jumlah permohonan pembiayaan. Dan juga Cagaran Tanah dengan Nilai Paksa Jualan Tanah (Forced Sale Value) sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah permohonan pembiayaan.

Pinjaman Perniagaan Untuk Pelajar Lepasan MARA

Pinjaman perniagaan untuk pelajar lepasan Intitusi Pendidikan MARA (IPMA) di bawah Skim Pembiayaan Perniagaan Lepasan IPMa (SEMAi).

Jumlah pinjaman maksima sehingga RM50,000.

Pinjaman dengan caj kadar keuntungan sebanyak 4% setahun.

Tidak memerlukan penjamin atau sebarang cagaran.

Syarat Kelayakan Pinjaman Usahawan Lepasan MARA

1. Berumur 18 tahun ke atas.

2. Telah menamatkan pengajian di IPMA dengan jayanya.

3. Mendapatkan sokongan daripada Pengawal Pusat di tempat belajar atau tempat menjalani latihan.

4. Lokasi perniagaan mesti sesuai dengan perniagaan dijalankan dan mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan.

5. Perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

6. Menjalankan perniagaan yang sama dan berkaitan dengan kursus yang diikuti di IPMA. Atau perniagaan dalam bidang lain yang berdaya maju dan menepati kriteria usahawan mudah jaya.

Pinjaman Perniagaan Untuk OKU

Pinjaman perniagaan untuk usahawan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Menyediakan pinjaman perniagaan sehingga maksima RM50,000.

Tempoh pinjaman selama 15 tahun.

Tidak perlukan cagaran atau pun penjamin.

Syarat Kelayakan Pinjaman OKU

i.    Khusus kepada OKU bagi semua jenis ketidakupayaan kecuali ketidakupayaan mental.

ii.   Kemukakan kad pendaftaran OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

iii.  Menjalankan perniagaan secara sepenuh masa.

iv.  Perniagaan yang belum beroperasi tetapi mempunyai potensi dan berdaya maju juga boleh dipertimbangkan.

Skim Jaminan Pinjaman Usahawan

MARA bekerjasama dengan bank komersil terpilih bagi menawarkan kemudahan pinjaman dan MARA bertindak sebagai penjamin menerusi Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM).

Yuran jaminan dikenakan MARA sebanyak 1% setahun daripada jumlah jaminan.

Permohonan hendaklah dibuat dengan mengemukakan Rancangan Perniagaan kepada bank komersial terpilih atau Pejabat MARA yang berhampiran dengan operasi perniagaan.

Kemudahan pembiayaan merangkumi:

Cash Line Facility (Cash Facility)
Documentary Credit Murabahah Facility (DCM Facility)
Murabahah Working Capital Financing Facility (MWCF Facility)
Bai Al-Dyan Working Capital Financing Facility
Lain-lain kemudahan yang ditawarkan oleh bank komersil

Had Pinjaman

Syarikat Milikan Tunggal dan Perkongsian antara RM200,000 hingga RM500,000.

Syarikat Sendirian Berhad antara RM200,000 sehingga maksima RM5,000,000.

Syarat Kelayakan Permohonan Skim Jaminan

1.    Perniagaan Bumiputera berstatus Sendirian Berhad, Perkongsian dan Milikan Tunggal.

2.    Perniagaan telah beroperasi dan mempunyai Laporan Kewangan Beraudit sekurang-kurangnya 2 tahun serta memperolehi keuntungan bagi 2 tahun terkini.

3.    Modal berbayar sekurang-kurangnya 20% daripada jumlah permohonan.

4.    Status carian kredit syarikat adalah memuaskan berdasarkan laporan BMC/CCRIS/RAM Credit.

5.    Memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh bank komersil.

6.    Sebarang cagaran atau jaminan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan Bank.

Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan

Kerjasama antara MARA dan Bank Rakyat bagi menawarkan kemudahan pembiayaan dan MARA bertindak sebagai penjamin menerusi skim MARA Entrepreneur Guarantee Scheme (MEGS).

Yuran jaminan 1% setahun daripada jumlah jaminan.

Permohonan boleh dikemukakan melalui Bahagian Pembiayaan Perniagaan MARA atau Bank Rakyat.

Kemudahan pinjaman bertujuan untuk dijadikan modal kerja (working capital), membeli aset atau membiayai kos projek.

Had Pinjaman

Syarikat Milikan Tunggal dan Perkongsian antara RM200,000 hingga RM500,000.

Syarikat Sendirian Berhad antara RM200,000 sehingga maksima RM2,000,000.

Syarat Kelayakan Permohonan Skim Jaminan Perniagaan

1.    Status carian kredit syarikat adalah memuaskan berdasarkan laporan BMC/CCRIS/RAM Credit.

2.    Memenuhi syarat-syarat pinjaman yang ditetapkan oleh Bank Rakyat.

3.    Syarikat Bumiputera berstatus Sendirian Berhad:

  • Perniagaan telah beroperasi dan mempunyai Laporan Kewangan Beraudit sekurang-kurangnya 2 tahun serta memperolehi keuntungan bagi 2 tahun terkini.
  • Modal berbayar sekurang-kurangnya 20% daripada jumlah pembiayaan bank.

4.    Perniagaan Bumiputera milikan tunggal atau perkongsian:

  • Perniagaan telah beroperasi dan mempunyai Laporan Kewangan Beraudit sekurang-kurangnya 2 tahun serta memperolehi keuntungan bagi 2 tahun terkini.
  • Perniagaan hendaklah mempunyai rekod jualan minimum RM500,000 setahun.
  • Perniagaan mestilah mempunyai penyata bank bagi tempoh 6 bulan terkini.

5. Keperluan untuk cagaran atau jaminan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Bank Rakyat.

Pinjaman Usahawan Global MARA EXIM

Kerjasama antara MARA dan EXIM Bank menyediakan peluang pinjaman kepada usahawan Malaysia yang menjalankan operasi perniagaan di luar negara menerusi Skim Pembiayaan Usahawan Global MARA – EXIM (GEMS).

Kemudahan pinjaman untuk pembelian aset atau pengubahsuaian, belian bahan mentah, gaji dan overhead dan sebagainya.

Jumlah pinjaman minima RM300,000 sehingga maksima RM2,000,000.

Yuran jaminan 1.5% setahun daripada jumlah jaminan.

Tempoh maksimum pembiayaan dan jaminan adalah sehingga 5 tahun.

Operasi perniagaan yang layak memohon merangkumi:

  • Operasi Pusat Dagangan.
  • Operasi Depot Bekalan.
  • Modal kerja bagi kemudahan pembuatan.
  • Khidmat professional seperti syarikat perunding kejuruteraan, francaisi produk Malaysia, perkhidmatan guaman dan sebagainya.
  • Operasi perniagaan lain yang diterima oleh Exim Bank.

Pinjaman melibatkan operasi perniagaan di negara-negara yang mana MARA mempunyai pejabat iaitu:

  • Australia
  • Mesir
  • Jerman
  • Indonesia
  • Ireland
  • Russia
  • United Kingdom
  • Amerika Syarikat

Pertimbangan boleh diberikan kepada perniagaan di negara-negara jiran seperti Eropah dengan kelulusan oleh MARA.

Permohonan lengkap perlu dikemukakan terus ke Pejabat MARA Luar Negara di mana perniagaan berkenaan beroperasi.

Syarat Kelayakan Pinjaman Usahawan Global GEMS

1.    Syarikat Malaysia yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965.

2.    Syarikat pengendali di luar negara mesti beroperasi sekurang-kurangnya 3 tahun dan mempunyai Laporan Kewangan Beraudit dengan memperoleh keuntungan bagi 2 tahun terkini.

3.    Status carian kredit syarikat adalah memuaskan berdasarkan laporan BMC/CCRIS/RAM Credit.

4.    Memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MARA dan Exim Bank.

5.    Cagaran tanah di Malaysia dengan nilai paksa jualan tanah sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah pinjaman.

6.    2 orang penjamin yang menetap di Malaysia.

7.    Jaminan kesemua Ahli Lembaga Pengarah.

Video yang berhubungan

Postingan terbaru

LIHAT SEMUA