Ketidakstabilan politik adalah

Gambar hiasan. Bandar raya Kuala Lumpur. - Foto: NSTP/Effendy Rashid

KUALA LUMPUR: Pergolakan politik ketika ini hanya akan mengganggu kelancaran proses pemulihan ekonomi akibat COVID-19 yang mana telah diperakui di peringkat global sebagai antara negara yang berjaya menangani impak penularan ke atas ekonomi dan juga rakyat, kata ahli ekonomi.

Mereka umumnya berpendapat, kesan negatif yang besar daripada kekalutan politik adalah terhadap keyakinan pelabur serta peniaga tempatan dan asing, selain daripada keresahan rakyat mengenai prospek kesejahteraan hidup untuk tempoh akan datang.

Tambahan pula Malaysia sendiri mengamalkan ekonomi terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa termasuk pelaburan langsung asing.

Ahli Ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata faktor ketikdaktentuan pasaran global akibat COVID-19, sebelum ini telah menyaksikan pelabur asing mengeluarkan dana dari Bursa Malaysia dengan jumlah yang besar.

Bagaimanapun, keadaan itu sudah kembali reda dan pasaran saham meningkat semula, naik hampir 33 peratus, ke paras hampir menyamai sebelum kemuncak penularan virus disokong pembelian pelabur institusi tempatan dan kenaikan mendadak penyertaan pelabur runcit.

"Oleh itu ketidakstabilan yang berlarutan akan menyebabkan banyak agenda pembangunan negara terjejas lebih-lebih lagi pada November nanti apabila kerajaan sepatutnya mengumumkan Belanjawan 2021 di samping menyempurnakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

"Seeloknya kerajaan diberi mandat yang kukuh bagi menangani pemulihan ekonomi yang berlarutan sekarang," katanya.

Penanda aras utama pasaran saham, FBM KLCI ditutup di bawah paras 1,500 mata semalam, susut 9.0 mata atau 0.62 peratus kepada 1,496.48 mata.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Anwar berkata, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, pula berkata dalam apa juga situasi, kepentingan rakyat perlu diutamakan terutamanya ketika ini.

Beliau berkata, dalam jangka masa pendek, kemelut politik ini akan menjejaskan ekonomi negara.

Namun katanya, jika berterusan dan tidak ada penyelesaian yang mapan, ia akan menjejaskan bukan sahaja prestasi dan keyakinan pelabur tetapi juga akan membantutkan usaha pemulihan ekonomi akibat daripada pandemik COVID-19.

"Yang pasti, rakyat pada ketika ini masih lagi berdepan dengan masalah kehilangan punca pendapatan, peniaga yang mempunyai masalah dari segi aliran tunai, serta golongan B40 dan M40 akan menerima kesan negatif secara langsung dalam masa yang terdekat," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata secara dasarnya, kemelut politik ini tidak akan memberi impak besar kepada prestasi ekonomi negara yang kini dalam pemulihan.

Beliau yang juga Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan PERKESO berkata, jika kerajaan bertukar, perkara penting yang perlu diteruskan adalah dasar dan politik yang menjurus kepada kepentingan rakyat.

"Siapa pun pemimpin kerajaan, dasar atau polisi yang baik perlu diteruskan yang mana ia akan memberi manfaat kepada isi rumah dan rakyat dalam berdepan dengan krisis COVID-19.

"Mana dasar dan program yang baik kepada ekonomi perlu diteruskan dan ditambahbaik jika perlu.

"Sebaliknya, prestasi ekonomi akan berisiko jika tampuk pemerintahan baharu mengubah arah tuju pemulihan dan pembaharuan ekonomi. Dasar dan program pemulihan untuk jangka masa setahun hingga dua tahun boleh dikekalkan dengan penambahbaikkan," katanya.

Video yang berhubungan

Postingan terbaru

LIHAT SEMUA