Apa yang dimaksud dengan Nur Muhammad?

Laman Utama Al-Islam Benarkah Nur Muhammad makhluk pertama ciptaan Allah?
  • Al-Islam
  • Al-Quran & Hadis

Benarkah Nur Muhammad makhluk pertama ciptaan Allah?

Oleh
Azrin Wahid
-
April 5, 2021

Allah S.W.T. berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 15,

Sesungguhnya telah datang kepada mu cahaya dari Allah dan kitab yang menerangkan.

Ada pendapat yang mengatakan, cahaya itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Apa yang dimaksudkan dengan cahaya itu? Adakah cahaya itu Nur Muhammad atau ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda dan menjadi petunjuk kepada seluruh umat?

Menurut Dr. Zulkifli, maksud cahaya dalam ayat ini adalah Rasulullah s.a.w, sebagaimana al-Quran yang diturunkan kepada Baginda adalah juga cahaya. Maka, Baginda adalah Nabi pembawa cahaya dan Rasul pembawa hidayah.

Semoga Allah menjadikan kita sebagai orang-orang yang mengikuti petunjuk dan sunnahnya.

Doa Nabi s.a.w,

Ya Allah, berilah aku cahaya di dalam hati ku, berilah cahaya di dalam pendengaran ku dan berilah aku cahaya dalam penglihatan ku, berilah cahaya dalam rambut ku, berilah aku cahaya di sebelah kanan dan kiri ku, di depan dan di belakang ku. HR Muttafaqun `Alaih

Tambahnya lagi, masalah cahaya atau Nur itu telah menjadi khilaf di kalangan ulama. Dinyatakan di sini, di dalam kitab Soal Jawab A-Z Tasawuf, antara lain menyebut dan Prof. Dr. Umar Hasyim di dalam kertas kerjanya yang bertajuk al-Nur al-Muhammadi juga menyentuh hal yang sama.

Terdapat beberapa pengertian yang dimaksudkan dengan perkataan Nur Muhammadi iaitu, Rasulullah s.a.w itu sendiri.

Dan, ia juga ditafsirkan sebagai al-Quran dan wahyu yang lain yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. sama ada yang merupakan hidayah yang diwahyukan kepada Baginda oleh Allah yang Baginda ucapkan ketika meriwayatkan hadis qudsi daripada Allah S.W.T. atau hadis-hadis nabawi yang merupakan ketetapan wahyu, atau semua hadis yang diucapkan oleh Baginda dan diakui oleh Allah S.W.T.

Sebagai kesimpulannya, agama Islam keseluruhannya termasuk hidayah, bimbingan dan cahaya yang menerangi perjalanan hidup kepada Allah S.W.T. dan kehidupan di dunia.

Apabila menyentuh mengenai Nur Muhammad, Ibnu Abbas berkata, roh Nabi s.a.w. sudah menjadi cahaya di hadapan Allah selama dua abad sebelum Adam diciptakan. Cahaya itu memuji Allah dan para malaikat pun memuji dengan pujiannya. Ketika Allah menciptakan Adam dia memancarkan cahaya itu ke arah pinggangnya.

Dalam menjawab persoalan itu pula, Dr. Zulkifli menukilkan pendapat yang dilemparkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi melalui kitabnya Fatawa Muasirah menyebut,

ada pendapat mengatakan tanpa lahirnya Muhammad maka dunia tidak tercipta

Telah diketahui, hadis yang menyatakan bahawa makhluk pertama adalah itu atau ini dan seterusnya, tidak satu pun sahih, sebagaimana ditetapkan oleh para ulama sunnah. Oleh kerana itu, kami dapati sebahagian bertentangan dengan sebahagian yang lain. Sebuah hadis mengatakan, yang pertama kali diciptakan oleh Allah adalah pena.

Hadis lainnya mengatakan, yang pertama kali diciptakan Allah adalah akal. Telah tersiar di antara orang awam daripada kisah maulid yang sering dibaca bahawa Allah menggenggam cahaya Nya, lalu berfirman,

Jadilah engkau Muhammad.

Maka ia adalah makhluk yang pertama kali diciptakan Allah daripada situ diciptakan langit, bumi dan seterusnya.

Daripada itu juga tersiar kalimat, selawat dan salam bagi mu wahai makhluk Allah yang pertama. Hingga kalimat itu dikaitkan dengan azan yang disyariatkan, seakan-akan sebahagian daripadanya.

Perkataan itu tidak sah riwayatnya dan tidak dibenarkan oleh akal, tidak akan memartabatkan agama dan tidak pula bermanfaat bagi perkembangan peradaban dunia. Awalnya Nabi Muhammad s.a.w sebagai makhluk Allah tidak terbukti, seandainya terbukti tidaklah berpengaruh pada keutamaan dan kedudukannya di sisi Allah.

Tatkala Allah memujinya dalam kitab Nya, maka Allah memujinya dengan alasan keutamaan yang sebenarnya.

Allah berfirman di dalam surah al-Qalam: 4,

Dan sesungguhnya kamu benar-benar orang yang berbudi pekerti agung.

Jelas Dr. Zulkifli, hal itu terbukti dan ditetapkan secara mutawatir. Nabi s.a.w. adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib al-Hasyim al-Quraisy yang dilahirkan di Mekah pada tahun gajah.

Baginda dilahirkan sebagaimana halnya manusia biasa dan dibesarkan sebagaimana manusia dibesarkan. Beliau diutus sebagaimana para Nabi dan Rasul sebelumnya diutus dan bukannya Rasul yang pertama di antara rasul-rasul Nya.

Baginda hidup dalam waktu terbatas, kemudian Allah memanggilnya kembali kepada Nya seperti firman Allah s.w.t di dalam surah al-Zumar: 30,

Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula).

Baginda akan ditanya pada hari kiamat, sebagaimana para Rasul ditanya dalam firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Maidah: 109,

(Ingatlah) hari di waktu Allah mengumpulkan para rasul, lalu Allah bertanya (kepada mereka): Apa jawapan kaum mu terhadap seruan mu? Para rasul menjawab: Tidak ada pengetahuan kami (tentang itu) sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui perkara yang ghaib.

Al-Quran telah menegaskan kemanusiaan Muhammad s.a.w di berbagai tempat dan Allah memerintahkan menyampaikan hal itu kepada orang-orang dalam berbagai surah, antara lain,

Firman Allah S.W.T. Surah al-Kahfi: 110,

Katakanlah, sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepada ku, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa.

Ayat di atas menunjukkan, Baginda adalah manusia seperti manusia lainnya, tidak memiliki keistimewaan, kecuali dengan wahyu dan risalah.

Nabi s.a.w menegaskan makna kemanusiaannya dan penghambaannya terhadap Allah dan memperingatkan agar tidak mengikuti kebiasaan-kebiasaan daripada orang-orang sebelum kita, iaitu penganut agama-agama terdahulu dalam hal memuja dan menyanjung.

Hal itu jelas disebut di dalam sebuah hadis.

Janganlah kamu sekalian menyanjung ku sebagaimana kaum Nasrani menyanjung Isa putera Maryam. Sesungguhnya aku adalah hamba Allah dan Rasul Nya. HR Bukhari

Nabi yang agung ini adalah manusia seperti manusia lain dan tidak diciptakan daripada cahaya mahupun emas, tetapi diciptakan dari air yang memancar dan keluar dari tulang sulbi lelaki dan tulang rusuk wanita sebagai bahan penciptaan Muhammad s.a.w. jelas Dr. Zulkifli.

Artikel Berkaitan: siapakah lelaki yang dikasihi makhluk di bumi dan di langit ikuti pendedahan Dr Zulkifli Mmohamad al-Bakri

___________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami diFacebook,Twitter,Instagram&Telegram

Artikel sebelumMemburu Nicky Liow, gambar diedar dan sempadan dipantau
Artikel selepasMohd. Daud dilantik Ketua Pegawai Eksekutif MHTC

Artikel Terbaru

Resipi talam lapis suji

February 12, 2022

Malang pelanduk dua serupa, dihukum dan nyawa hampir melayang kerana wajah...

February 12, 2022

22,802 kes baharu, jangkitan COVID-19 kini lepasi angka 3 juta

February 12, 2022

Sukar fahami lojik tewaskan BN untuk sekat kluster mahkamah Annuar...

February 12, 2022

Mana-mana vaksin penggalak adalah lebih baik daripada tidak mengambilnya

February 12, 2022

Gelombang Omicron: Keperluan kerja dari rumah diteliti KSN

February 12, 2022

Video

Postingan terbaru

LIHAT SEMUA